POLIS akan membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan tiada aktiviti ‘bersantai’ di lorong kecemasan di Lebuhraya Temiang-Pantai, Negeri Sembilan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad mengakui keadaan laluan itu seperti pemandangan menghijau di New Zealand, menjadi tumpuan pengguna jalan raya berhenti dan bergambar terutama pada hujung minggu.
“Meletakkan kenderaan di lorong kecemasan lebih-lebih lagi dalam jumlah yang banyak tidak dibenarkan dan menjadi satu kesalahan.
“Justeru polis akan melakukan rondaan pemeriksaan bagi memastikan tiada kenderaan diletakkan di lorong kecemasan dan melakukan aktiviti berbahaya lain.
“Saya difahamkan ada juga yang mengambil kesempatan untuk berniaga, ia memang tidak dibenarkan kerana menjadi kesalahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya memetik Berita Harian, hari ini.
Shafiei menjelaskan, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai lokasi sesuai dibenarkan bergambar.
“Orang ramai diminta tidak melakukan sesuatu aktiviti di lokasi terbabit yang boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Sebelum ini Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman dilaporkan berkata, tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang berhenti di situ, mengikut Kaedah 53(1) LN 166/59 Peraturan-Peraturan Lalulintas.
Laluan ‘New Zealand’ itu tular di media sosial baru-baru ini, menyebabkan kelab kereta mengadakan perhimpunan ahlinya dengan berhenti beramai-ramai di sepanjang lorong kecemasan di laluan berkenaan. – Malaysiapost

