MASYARAKAT Cina di negara ini sering kali dimomokkan dengan naratif bahawa PAS adalah parti Islam yang ekstrim, kata Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.
Namun, katanya, masyarakat Cina di negara ini sebenarnya masih tidak mengenali PAS secara dekat dan perasaan ingin tahu dan ingin mengenali PAS sebenarnya tinggi dalam diri mereka.
Katanya, bagi masyarakat Cina, PAS begitu sinonim dengan hukum hudud yang kononnya mengenakan hukuman berat kepada pesalah.
“Apabila terdengar mengenai PAS apa yang terbayang dalam kepala mereka ialah, PAS nak buat Hudud, nak potong tangan.
“Nak wajibkan semua orang termasuk masyarakat bukan Islam hidup berpatuhkan syariah dan yang paling meyedihkan ialah dakwaan bahawa PAS adalah parti yang memusuhi masyarakat dan budaya bukan Islam,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, Khairil Nizam, keadaan itu menjadi cabaran kepada PAS untuk membawa mereka mendekati parti itu dan memahami perjuangan sebenar PAS.
“Masih berliku perjalanan kita mendekati mereka dan untuk mereka faham tentang PAS.
“Tugas kita ahli-ahli PAS adalah untuk terus memberikan penerangan kepada mereka dan mendekati mereka dalam pelbagai aktiviti masyarakat setempat,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, PAS perlu memecahkan tembok yang memisahkan antara parti itu dan masyarakat bukan Islam.
Sehubungan itu, katanya, PAS mesti memberikan contoh yang baik kepada mereka tentang indahnya keadilan dan kesejahteraan dalam Islam kepada manusia sejagat.
Terdahulu, Khairil Nizam berkata, beliau sempat berbincang isu itu bersama seorang You Tuber berbangsa Cina, Feng Ren Guan yang menemu ramahnya hampri satu jam mengenai PAS, semalam.
“Hampir satu jam lebih beliau melontarkan pelbagai soalan mengenai dasar dan cara perjuangan PAS.
“Saya terharu dengan semangat ingin tahu beliau mengenai PAS sekali gus membersihkan salah tanggap orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina kepada PAS,” katanya. – Malaysiapost

