Zahid pilih beri keterangan secara bersumpah dari tempat saksi

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi, selepas diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah dan jenayah yang dihadapinya.

Susulan pilihan yang diambilnya itu, sepanjang tempoh proses pembelaan diri kelak, bekas Timbalan Perdana Menteri di antara 2015 hingga 2018 itu, akan disoal oleh barisan peguam bela yang mewakilinya dan pihak pendakwaan berpeluang menyoalnya ketika pemeriksaan balas.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Ahmad Zahid diberi tiga pilihan iaitu pertama, beliau boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sementara pilihan terakhir, Ahmad Zahid memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here