PRN Johor: Khaled Nordin sahkan tidak bertanding

0
2

“SAYA tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin juga menafikan akan membuat kemunculan semula sekali gus bertanding pada PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketua Bahagian Umno Pasir Gudang itu berkata, beliau tidak berhasrat menawarkan diri untuk bertanding pada PRN kali ini.

“Tidak, saya tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor.

“Saya merasakan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Johor) melakukan kerja yang baik menerajui negeri.

“Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding. Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dalam pada itu, ditanya desas desus beliau akan dicalonkan di DUN dalam daerah Kota Tinggi yang juga antara kubu kuat Umno di Johor, Mohamed Khaled, menolak dakwaan itu.

“Tidak…tidak. Isu ini tidak timbul. Itu bukan keutamaan saya mahu pun Umno

“Kena faham kita nak pastikan Johor kembali stabil dan kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding perkara lain,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Mohamed Khaled berkongsi gambar beliau menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, sekali gus menimbulkan spekulasi beliau bakal membuat kemunculan semula dan bertanding pada PRN Johor nanti.

Mohamed Khaled sebaliknya menjelaskan, pertemuan bersama Sultan Johor itu sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa membabitkan negeri Johor termasuk isu banjir.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohamed Khaled mendapat 20,047 undi di kerusi DUN Permas, sekali gus tewas kepada Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh (Bersatu) yang memperoleh 28,793 undi, dengan majoriti 8,746 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here