Polis panggil ahli FCCM-FC Club Malaysia

0
1

SEKUMPULAN individu dipercayai ahli sebuah kelab kereta akan dipanggil polis untuk memberi keterangan selepas gambar mereka berkumpul di lorong kecemasan di Lebuh raya Temiang-Pantai Seremban, Negeri Sembilan, tular menerusi media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan hantaran menerusi Facebook yang memaparkan sekumpulan individu daripada kelab kereta ‘FCCM-FC Club Malaysia’ memberhentikan kereta untuk bergambar di lebuh raya berkenaan kira-kira jam 6.30 petang, Sabtu lalu.

“Kita akan panggil ketua kelab itu dahulu, kita sudah kenal pasti kira-kira 48 kereta setakat ini. Berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan tanpa sebab yang munasabah seperti yang tular itu adalah satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu mengikut Kaedah 53(1) Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan daripada apa-apa kelas diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fazley berkata, hukuman denda juga boleh dikenakan ke atas individu yang terbabit mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Katanya, perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi menyelaraskan tindakan lanjut selain cadangan bagi menyediakan tempat khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai bergambar serta menjaja.

“Lebuh raya Temiang-Pantai adalah lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar kerana keindahan pemandangan di lokasi terbabit.

“Namun, tindakan mengambil gambar seperti yang tular itu boleh mengundang bahaya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here