Agong jalani rawatan susulan di IJN

0
1
PUTRAJAYA, 18 Mac -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah beredar selepas berkenan melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya.?Baginda berdua berkenan meluangkan masa setengah jam di CPRC bagi mendengar taklimat mengenai situasi terkini wabak COVID-19 di negara ini.?--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN), bermula semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda akan menjalani rawatan berkenaan selama beberapa hari.

Menurutnya, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang telah dijalani Baginda pada September 2020.

“Pada 24 September 2020, Seri Paduka Baginda telah menjalani rawatan intervensi tersebut setelah pengimejan MRI menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali baginda ketika bersukan.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh tersebut ekoran daripada pelaksanaan Prosedur Operasi Standard Covid-19 di hospital-hospital awam, termasuk IJN.

“Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil memaklumkan kesihatan Yang di-Pertuan Agong secara amnya berada dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.

“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan ini.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here