4 ditahan dalam OP Samseng Jalanan

0
1

DUA beradik antara empat penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kerana dipercayai menunggang secara melulu.

Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, operasi berkenaan dijalankan selama dua hari bermula Jumaat hingga semalam membabitkan 11 pegawai dan 45 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik di semua peringkat daerah.

Menurutnya, sebanyak 519 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan pihaknya termasuk tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran, tiada perlindungan insurans dan cermin sisi.

“Saman dikeluarkan lanjutan daripada pemeriksaan yang dilakukan ke atas 854 kenderaan dan 939 individu.

“Dalam pemeriksaan tersebut, 13 motosikal telah disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 64(1) dan empat motosikal disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.

“Empat penunggang telah ditahan kerana menunggang secara melulu dan merbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalanraya yang lain (aksi superman dan wheelie),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua daripada yang ditahan itu adalah adik beradik yang berasal dari Dungun berusia 26 dan 21 tahun.

Menurutnya, operasi yang dijalankan itu adalah bertujuan mengesan penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas di samping mengenalpasti motosikal yang diubahsuai bagi kegiatan samseng jalanan.

“Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan sentiasa peka dan memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here