Kerajaan Johor perlu mandat baharu, tanpa ihsan pembangkang – Hasni

0
1

MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mahu mandat baharu untuk menubuhkan kerajaan negeri yang lebih kukuh tanpa memerlukan ihsan pembangkang.

Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri kini hanya berkelebihan satu kerusi, namun tidak siapa boleh menafikan bahawa kerajaan negeri dalam situasi tidak stabil.

“Justeru, saya beranggapan kerajaan yang ada perlu jadikan Johor sebagai sebuah negeri yang rancak program untuk rakyat.

“Semua ini perlu diteruskan, tetapi memandangkan kedudukan kerajaan sebagai bergerak atas ihsan pembangkang, jadi saya rasa ia tidak wajar berlaku.

“Saya ingin melihat Johor menjadi negeri maju, rancak pembangunannya, jadi saya perlukan mandat baru. Saya perlu dapat semula mandat daripada rakyat Johor,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, petang tadi.

Mengulas lanjut, Hasni berkata meskipun pembangkang berjanji untuk melancarkan urusan pentadbiran kerajaan negeri, namun sebaliknya ia tidak berlaku.

“Saya anggap itu sebagai janji manis, DUN (Dewan Undangan Negeri) bersidang baru-baru ini pun kita berdepan dengan satu rundingan untuk membenarkan wakil daripada parti pembangkang hadir dalam mesyuarat tindakan majlis daerah sebagai contoh.

“Berulang-kali saya terangkan kepada wakil pembangkang itu bukan keputusan kerajaan negeri, kita hanya tertakluk kepada arahan Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengenai komposisi untuk hadir dalam mesyuarat tindakan majlis daerah,” katanya.

Tambahnya, Speaker DUN juga bukan daripada parti kerajaan dan kemungkinan ia atas ihsan untuk pastikan kerajaan ini berjalan.

“Itu saya kata kita bergerak atas ihsan. Satu majoriti tidak siapa boleh nafikan kerajaan negeri berada dalam situasi tidak stabil,” katanya.

Sehubungan itu, Hasni berkata tujuan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kerusi pihak kerajaan yang hanya ada 29 kerusi dan dianggap majoriti mudah.

“Seperti kita sedia maklum sebelum ini, bahawa kerajaan negeri dibentuk melalui 56 DUN di mana 29 kerusi merupakan majoriti mudah untuk kerajaan negeri ditubuhkan.

“Dan apabila kerusi DUN Kempas berlaku kekosongan. Saya telah menimbangkan sama ada untuk mengadakan PRN ataupun sebaliknya memandangkan peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri bahawa selepas tempoh tiga tahun sesebuah dewan itu sama ada Dewan Rakyat atau DUN tidak perlu diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), tidak perlu bukan bererti tidak boleh diadakan.

“Namun, di Johor sepatutnya perlu diadakan kerana kerajaan negeri hanya mempunyai 29 kerusi di pihak kerajaan sebagai kerajaan yang mempunyai majoriti mudah,” katanya.

Kerajaan Johor pimpinan BN berdiri dengan majoriti tipis selepas kematian Adun Kempas, Allahyarham Osman Sapian.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN.

Baginda berkenan menerima mengadap Hasni pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada, hari ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here