Pertimbangkan sehabis baik permintaan rakyat keluar wang KWSP – Zahid

0
1

KISAH pasangan suami isteri yang terpaksa tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) sepatutnya membuka mata banyak pihak tentang nasib rakyat yang sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hakikat yang perlu diakui masih ramai rakyat sedang berhadapan dengan permasalahan ekonomi ketika ini.

“Kita boleh bercerita bulan dan bintang bagi menghuraikan yang indah-indah belaka, namun adakah ia lengkap dan menyentuh realiti semasa?

“Mungkin orang di sekeliling kita atau di hadapan mata kita terlihat penuh selesa, namun bagaimana yang lain di luar jangkaun dan makluman kita?,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam hantaran tersebut, Ahmad Zahid turut berkongsi beberapa foto yang memaparkan pasangan suami isteri itu ‘berumah tangga’ di bawah landasan LRT.

“Saya dimaklumkan begitu ramai pihak tampil membantu pasangan suami isteri yang ditemui tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT).

“Syukur alhamdulillah. Semoga segala pertolongan diberi membolehkan pasangan suami isteri terbabit menjalani kehidupan yang baik.

“Sejujurnya kita perlu berterima kasih individu yang menemui pasangan suami isteri terbabit dan mendedahkan nasib mereka di media sosial,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru kepada pihak yang mentadbir kewangan negara pertimbangkan sehabis baik permintaan rakyat untuk dibenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali terakhir.

“Begitu juga dengan permintaan mereka yang masih berdepan dengan masalah kewangan supaya diberi moratorium bayaran oleh pihak bank untuk tempoh enam bulan lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengkritik Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang dilancarkan kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dikatakan untuk bank membantu rakyat yang masih mengalami masalah kewangan akibat impak pandemik.

“Namun banyak keluhan didengari tentang URUS didakwa lebih menguntungkan bank berbanding rakyat kerana peminjam perlu menangggung bebanan hutang yang lebih tinggi.

“Kelihatan seperti salah satu produk kewangan yang akan menjana keuntungan bagi pihak bank, manakala kosnya perlu ditanggung rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here