MENTERI Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dijangka mengadakan sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri, petang esok.
Bagaimanapun, Hasni enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
“Ya esok ada mesyuarat Perhubungan Umno negeri,” kata seperti dilaporkan MalaysiaGazette
Desas-desus sidang media itu berkaitan dengan usul pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Johor mempunyai 56 kerusi DUN yang terdiri daripada Umno dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu sebanyak 11 kerusi, PKR (7), Amanah (6) MIC (2) dan PAS (1).
Berikutan kedudukan yang genting iaitu kerajaan memerintah memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, PRN dilihat perlu diadakan supaya kerajaan yang dipilih kelak dapat memberi tumpuan kepada program pembangunan negeri terutamanya sektor ekonomi.
Sementara itu, menurut sumber, Hasni dijangka mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mempersembahkan usul pembubaran DUN pada Ahad nanti.
Keputusan sama ada PRN boleh diadakan atau tidak tertakluk kepada perkenan Sultan Johor dan beberapa prosedur perlu dipatuhi sebelum DUN dapat dibubarkan.
Semalam, Malaysiapost melaporkan, spekulasi mengenai PRN Johor hampir pasti apabila DUN dikatakan akan dibubar, Ahad ini.
Sumber dalaman Umno mengesahkan surat permohonan pembubaran DUN oleh Hasni telah dihantar kepada pejabat Speaker DUN.
“Kemungkinan bubar Ahad. Surat pun sudah sampai ke pejabat Speaker,” kata sumber kepada Malaysiapost.
Malaysiapost juga turut dimaklumkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar bagi membincangkan perkara itu. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

