Ada lagi kelibat harimau belang berlegar di kampung Orang Asli Gua Musang

0
1

Nurul Huda Abhar

KELIBAT harimau belang sekali lagi sempat dirakam ketika berlegar berdekatan dengan perkampungan Orang Asli sekitar Gua Musang, Kelantan.

Menerusi rakaman berdurasi 41 saat yang dimuat naik laman Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, dikatakan kelibat harimau itu dilihat di kawasan sekitar Pos Ber.

“Petang tadi di sekitar Pos Ber, Gua Musang. Kami sekarang dalam ketakutan.

“Nampaknya banyak Pos/penempatan Orang Asli di sini sudah didatangi harimau. Dari Pos Bihai, Pos Balar, Pos Tuel dan sekarang Pos Ber pula. Jarak dari Pos ke Pos ni bukan dekat, ada sehingga 2-5 jam. Berpuluh kilometer.

“Doalah keselamatan kami di Pos Ber,” tulisan di ruangan kapsyen.

Semakan mendapati kelibat harimau itu dirakam individu ketika sedang melalui jalan perkampungan tersebut.

Reaksi haiwan itu hanya merenung kenderaan individu tersebut, sebelum lari bersembunyi di semak berhampiran.

Hantaran itu dibanjiri dengan komen netizen yang mengharapkan agar tindakan tegas diambil pihak berkuasa bagi menyelamatkan nasib haiwan terancam itu.

“Sangat bersimpati dengan nasib haiwan-haiwan liar ini. Habitat mereka sudah terancam oleh kerakusan manusia. Tolonglah buat sesuatu kerajaan.. jangan sampai penduduk Orang Asli jadi mangsa,” kata Shawn Ari.

“Bukan harimau yang datang ke tempat kita, sebenarnya kita yang ceroboh habitat mereka,” kata Nurul Najidah.

Sebelum ini, Malaysiapost melaporkan kelibat dua ekor harimau belang kelihatan berkeliaran keluar dari kawasan semak didakwa di Pos Bihai, Gua Musang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here