Program Podium tidak dihentikan – Ahmad Faizal

0
1

PROGRAM Podium untuk atlet berpotensi tinggi negara tidak dihentikan sebaliknya dikurangkan susulan kekangan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pada 2018 peruntukan bagi program itu menelan RM74 juta, namun pada 2022 peruntukan hanya sekadar RM17 juta.

Beliau berkata, program itu bertujuan mengumpulkan atlet di bawah satu bumbung untuk latihan dan diberi makan minum, tempat tinggal, jurulatih, fisioterapi dan sebagainya kepada atlet-atlet berprestasi tinggi.

“Pada 2018 lebih kurang 400 atlet di bawah program ini yang berkampung di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk diberikan latihan. Hari ini kita berjaya mengumpul hampir 200 atlet untuk tujuan sama.

“Namun ini tidak bermakna atlet yang tidak terpilih tidak boleh meneruskan latihan sebaliknya mereka boleh menggunakan fasiliti MSN di seluruh negara untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

“Cuma mereka tidak dapat diletakkan di bawah Program Podium. Pengurangan atlet dalam program ini juga tidak bermakna atlet lain tiada peluang mewakili negara,” katanya dalam program Inklusif di RTM, malam ini.

Ahmad Faizal berkata, menegaskan program itu sama sekali tidak dihentikan, tetapi pihak Kementerian Kewangan berpandangan perbelanjaan negara perlu ke arah pasca pandemik.

“Perbelanjaan di tumpukan kepada permasalahan ekonomi yang lain, permasalahan rakyat untuk meneruskan kehidupan dan sebagainya.

“Jadi kami (KBS) terima pandangan tersebut, namun walaupun berbanding tahun lalu kira-kira RM40 juta diperuntukkan untuk program itu kepada sifar tahun ini, kami di KBS telah mencari jalan.

“Dan dapat mengumpulkan dana sebanyak RM17 juta untuk meneruskan Program Podium ini demi kelangsungan atlet-atlet berprestasi tinggi negara,” katanya.

Sementara itu menjawab persoalan sukan apa yang diberi keutamaan dan apa yang terpaksa dikompromi susulan kekurangan peruntukan, beliau berkata peserta program berkenaan kini tidak lagi boleh bermewah.

“Sebelum ini serba mewah jika sebelum ini seorang atlet disediakan seorang jurulatih, fisioterapi yang bergaji tetap. Tetapi sekarang ini kita mengurangkan dengan seorang jurulatih menjaga beberapa atlet, begitu juga fisioterapi

“Kejohanan yang disertai juga adalah secara terpilih. Jika tahun ini diadakan sukan SEA, sukan Asia dan Komanwel, kita tetap akan menghantar atlet untuk bersaing.

“Saya yakin atlet negara akan memberi saingan yang hebat malah akan membawa pulang pingat buat negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here