Netizen hairan SPRM retweet hantaran Fahmi tulis ‘Undur Azam’

0
1

CIAPAN di laman Twitter Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menarik perhatian ramai apabila hantaran tersebut yang menggesa Tan Sri Azam Baki berundur, telah diulang ciap oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Fahmi yang dalam ciapan itu menulis ‘Undur Azam’ telah diulang ciap SPRM dan tangkap layar itu kini tular di laman tersebut.

Netizen rata-rata tidak percaya apabila admin Twitter SPRM mengulang ciap hantaran yang menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM mengundur diri.

“Sekejap, apa?,” soal @Kimiwarrior sambil memuat naik tangkap layar ciapan itu.

“Twit kena hack ke,” tanya seorang lagi pengguna Twitter.

Bagaimanapun, semakan terkini menerusi laman tersebut mendapati ulang ciap itu telah dipadam.

Hari ini, lapan tuntutan memorandum termasuk menggantung serta-merta tugas, diserahkan gabungan 23 organisasi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Memorandum Rakyat Desak Selamatkan SPRM itu bertujuan menyelamatkan suruhanjaya berkenaan sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap usaha memerangi rasuah.

Menurut kumpulan itu, mereka turut menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi siasatan menyeluruh serta membuat saranan tindakan undang-undang terhadap Azam termasuk memanggil semua saksi dan meneliti semua dokumen berkaitan.

Antara organisasi yang bersama dalam memorandum itu ialah Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda Amanah Nasional, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Sabah, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Mahasiswa Roket dan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here