Empat beranak tak mengaku tipu projek korek pasir RM1 juta

0
1

EMPAT beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan menawarkan projek mengorek pasir tidak wujud membabitkan kerugian RM1 juta, dua tahun lalu.

Wong Tiing Kiong, 64, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin sebaik dua pertuduhan dibacakan dalam prosiding yang diadakan secara berasingan dengan tiga anaknya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu, mendorong dan memperdayakan Chong Teamwork Marketing Sdn Bhd dengan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud.

Perbuatannya itu kemudian mendorong syarikat terbabit menyerahkan RM1 juta menerusi dua cek Public Bank bernilai RM500,000 setiap satu.

Ia berlaku kira-kira jam 10.10 pagi di Melaka Raya, dalam daerah Melaka Tengah 19 April 2019.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Dalam prosiding berasingan, tiga anaknya Wong Sing Kung, 44; Amy Wong E Tim, 33; dan Felix Wong Sing Jie, 27, turut didakwa dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Maziah Joary Tajudin.

Mereka dituduh bersubahat melakukan kesalahan sama dan didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 serta Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik.

Mahkamah kemudian membenarkan keempat-empat beranak dijamin RM20,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan selain perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Februari depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here