Tahun Baru Cina: Masyarakat Cina, pengurusan tokong diharap patuhi SOP

0
2

MASYARAKAT Cina dan pengurusan tokong digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sambutan Tahun Baru Cina demi keselamatan diri dan orang ramai.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata sebarang ketidakpatuhan dan pelanggaran SOP akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta 342.

Katanya, pematuhan SOP itu termasuk, Pembukaan Rumah Ibadat selain Islam; Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 (Aktiviti Sosial) dan Industri Kreatif (Persembahan Langsung).

Beliau berkata, SOP Tahun Baru Cina 2022 merupakan keputusan kerajaan yang diputuskan selepas Mesyuarat Kabinet hari ini.

“Sebelum ini, beberapa perbincangan telah diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk wakil-wakil komuniti, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau turut berharap sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini dapat diraikan dengan penuh makna dan kesyukuran bersama insan tersayang.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam sidang media bagi mengumumkan SOP sambutan Tahun Baru Cina 2022 hari ini.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here