‘Adakah Malaysia benarkan dagangan saham secara proksi?’ – Guan Eng

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tampil memberi penjelasan berhubung tindakan melepaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Guan Eng berkata, ia penting bagi membuktikan bahawa tiada kegagalan kawal selia dan penguatkuasaan kerana tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa Azam telah melakukan pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

“Adakah Malaysia satu-satunya pusat pelaburan global yang luar biasa dalam membenarkan dagangan saham secara proksi?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, seperti setiap pasaran modal maju di dunia, Malaysia telah melarang perdagangan saham secara proksi melalui Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

“Bagaimana boleh SC berdiam diri apabila Azam secara jelas dan terbuka mengakui bahawa dia telah membenarkan adiknya menjalankan dagangan saham secara proksi?

“Adakah melindungi seorang individu seperti Azam berbaloi berbanding risiko reputasi SC dan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia?,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, adakah dengan membersihkan nama Azam, siasatan balas SPRM terhadap SC sebelum ini juga akan ditutup.

“Persoalan turut dibangkitkan sama ada siasatan balas sebelum ini oleh SPRM terhadap SC juga akan ditutup atau dilupakan secara senyap.

“Adakah kita boleh menjangkakan kenyataan yang serupa daripada SPRM membersihkan SC daripada sebarang salah laku?,” soalnya.

Semalam, SC merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah SICDA berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu kenyataan semalam berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.

“SC tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA telah berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here