PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya tiada usaha untuk memastikan pemain remaja yang berpangkalan di England, Jaami Qureshi, diberi peluang mewakili negara.
Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar, berkata pihaknya berkomunikasi secara terus dengan bapa pemain itu, Perviz Qureshi, serta Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling, berhubung perkara itu.
Menurutnya, FAM membincangkan panggilan ke pusat latihan bagi skuad Bawah 19 tahun kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC Bawah 19 tahun yang sepatutnya diadakan di Uzbekistan pada 2020.
Beliau berkata, Perviz Qureshi juga pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam membincangkan status anaknya pada 2020.
Menurutnya, menerusi beberapa komunikasi di antara FAM dan Qureshi sekitar Julai 2020, bapa pemain itu mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih Brad Maloney ketika itu.
“Pada masa yang sama, Wan Ahmad Kuzri Ahmad Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mematuhi proses kuarantin selepas menyatakan kesediaan pulang ke tanah air bagi menjalani latihan bersama skuad Bawah 19 tahun.
“Beliau sedia dinilai dari segi kemahiran teknikal sebagai usaha meyakinkan panel kejurulatihan bahawa beliau layak dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Saifuddin berkata, sebagai badan induk bola sepak negara, FAM tidak akan berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan Covid-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan.
“Adalah jelas bahawa di sebalik dakwaan FAM tidak mengambil sebarang tindakan, Sekretariat Agung mengambil inisiatif berhubung dengan keluarga Qureshi pada 2020.
“Tetapi atas sebab pelbagai faktor, usaha menjadikan Jaami rakyat Malaysia tidak tercapai. Memandangkan Jaami kini memilih kerakyatan Iraq, kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” katanya. – Malaysiapost

