KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menzahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mendapati tiada sebarang kesalahan terhadapnya berhubung dakwaan pemilikan saham menerusi akaun dagangan milik dirinya.
“Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh SC yang telah mendapati tiada kesalahan yang dilakukan oleh saya.
“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan. Oleh yang demikian, pihak SC telah menutup fail inkuiri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan itu, Azam berkata beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat.
Terdahulu, SC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam dan menamatkan inkuiri. – Malaysiapost

