Penggal kepala ibu: LZS beri bantuan khairat kematian kepada suami mangsa

0
1

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) akan menyalurkan bantuan khairat kematian kepada lelaki yang kehilangan isteri selepas kepala wanita itu dipenggal oleh anak sendiri dalam kejadian di sebuah kampung di Kuala Selangor, Sabtu lalu.

LZS menerusi hantaran di laman Facebooknya, memaklumkan pihaknya juga menyerahkan bantuan kecemasan bertujuan meringankan beban suami mangsa yang juga tersenarai dalam golongan asnaf.

“Sebak….itulah perasaan kami ketika melangkah ke kediaman asnaf yang kehilangan isterinya akibat dipenggal anak ketika dalam pengaruh dadah.

“Pasangan ini merupakan salah seorang asnaf LZS di Kuala Selangor. Kami masih ingat lagi keceriaan wajah mereka di majlis penyerahan rumah zakat tahun lepas,” menurut kenyataan itu.

Suami mangsa ditenangkan kakitangan LZS

LZS berkata, pihaknya sebelum ini mengharapkan pasangan itu dapat memulakan kehidupan yang lebih indah dan bersama keluarga.

“Namun dadah sekali lagi meranapkan impian dan bertukar tragedi. Belum pun reda kisah ‘remaja dimandikan seperti jenazah’ yang dilaporkan angkara dadah jenis methaphetamine, sekali lagi kisah duka menghiasi ruangan akhbar,” katanya.

LZS berkata, program pencegahan, pendidikan, pemulihan dadah memerlukan keterlibatan semua lapisan masyarakat dan hendaklah bermula dari peringkat pendidikan awal.

“Kami di Zakat Selangor mendoakan agar beliau sekeluarga tabah menghadapi ujian besar ini.

“Semoga Allah menempatkan arwah isteri beliau di kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang wanita maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian disedari oleh salah seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubungi mangsa.

Polis percaya lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah dan sebelum itu dipercayai meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here