POLIS mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah membabitkan tahanan orang Kena Tuduh (OKT) yang mati mengejut di lokap Balai Polis Pengekalan Chepa, Kota Bharu , Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Azri Ahmad, berkata berdasarkan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah paru-paru berair dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu, Kelantan pada 17 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata, bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan.
Semalam, media melaporkan satu lagi kes kematian tahanan dalam lokap dilaporkan berlaku di lokap Balai Polis Pengekalan Chepa, Kota Bharu.
Kematian tersebut membabitkan tahanan lelaki berusia 37 tahun.
Sebelum ini seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Perak pada 13 Januari lalu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun. – Malaysiapost

