Mufti Perlis gesa KKM kaji kesan dos penggalak kepada individu tidak sesuai

0
1

“AYAHANDA saya sudah lebih seminggu di hospital. Selepas dos ketiga (vaksin Covid-19), beliau mula muntah dan menjadi sangat lemah,” luah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Justeru, Mohd Asri menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak Covid-19 kepada rakyat khususnya mereka yang mungkin tidak sesuai.

“Menurut doktor, beliau (ayah) terkena sekali lagi stroke di bahagian yang sensitif di kepala. Punca masih tidak jelas. Apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau tidak? Saya tidak pasti, hanya pakar yang dapat menjelaskan,” katanya menerusi hantaran di Instagramnya.

Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza menjelaskan, beliau dimaklumkan dengan banyak situasi membabitkan kematian selepas menerima suntikan ketiga vaksin Covid-19.

“Kebetulan minggu sebelum itu ada anak seorang sahabat meninggal setelah jatuh sakit mengejut selepas dos ketiga. Beliau sebelum itu sihat.

“Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar. Keluarga beliau orang kampung tidak menuntut siasatan terperinci. Mereka hanya kata “lepas vaksin nombor 3, tak pasai pasai dia sakit, lepas tu meninggal”. Mungkin juga ada punca lain,” katanya.

Beliau berkata, sebelum itu, ada juga orang yang rapat dengannya yang menceritakan seorang bakal ahli jamaah umrah yang ambil dos penggalak sebagai syarat umrah, tiba-tiba jatuh sakit dan meninggal.

“Juga tidak pasti apakah punca sebenar. Kebetulan atau ada kaitan? Kena kajian pakar.

“Ramai yang menyebut hal ini di sosial media. KKM kena ambil perincian setiap kes. Semoga Allah merahmati kita semua,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here