i-Citra: Pemuda Umno tidak mahu buang masa debat di media sosial

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz jangan mengelirukan rakyat berkenaan pengeluaran i-Citra wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, sebagai contoh walaupun anggaran pengeluaran wajib pencarum mencecah RM34 bilion setahun, tetapi caruman wajib yang diterima KWSP pada tahun ini juga dianggarkan mencecah RM70 bilion.

“Maka masih wujud lebihan tunai sebanyak RM36 bilion. Jadi apa masalahnya jika tuntutan i-Citra 2.0 ini dipenuhi memandangkan anggaran jumlahnya cuma sekitar RM25bilion hingga RM30 bilion sahaja?.

“Ia tidak melibatkan apa-apa kecairan di pasaran modal atau memerlukan KWSP menjual apa-apa aset di luar negara yang merupakan sebahagian daripada aset KWSP berjumlah RM988.55 bilion,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi juga menyentuh alasan Tengku Zafrul menolak cadangan melaksanakan ‘Unconventional Monetary Policy’.

Katanya, cadangan tersebut walhal telah diaplikasikan oleh banyak negara dan terbukti dapat memperbaiki ekonomi negara-negara Eropah ketika krisis kewangan 2009.

“Hakikatnya rakyat yang sedang susah dan terdesak tidak berminat dengan alasan teknikal dasar monetari negara kerana mereka tahu bahawa Akta KWSP 1991 sendiri membenarkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP apabila pencarum berdepan dengan krisis kehidupan seperti hari ini.

“Pun begitu pelbagai solusi, cadangan penyelesaian dan alternatif yang kami turut berikan untuk mengembalikan dana yang dikeluarkan (replenish),” katanya.

Tegasnya lagi, beliau dan rakan-rakan Pemuda Umno tidak mahu membuang masa melakukan perdebatan di media sosial.

Katanya, lebih elok jika Tengku Zafrul menggunakan masa itu dengan mencari jalan bagi membolehkan pengeluaran dapat dibuat dan mandat KWSP dapat dilaksanakan.

“Kita boleh adakan sesi debat lain diantara saya dan DS Tengku Zafrul untuk beri keadilan kepada rakyat yang sedang menunggu dan berharap.

“Tetapi kehendak dan keperluan rakyat mesti diutamakan. Janganlah mengeluh kononnya KWSP perlu menjual saham sedangkan rakyat sudahpun menggadai pelbagai tanggungan demi meneruskan kehidupan!,” ujarnya.

Semalam, Tengku Zafrul berkata, jika pengeluaran tambahan KWSP dibenarkan lagi, agensi itu perlu menjual pelbagai bentuk pelaburan untuk menampung langkah tersebut.

Jelasnya, keuntungan RM48 bilion yang dijana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini, tidak boleh dijadikan penunjuk untuk membenarkan pengeluaran tambahan untuk pencarum.

“Bila pelaburan kurang, maka dividen untuk pencarum secara automatik akan menjunam. Kos pinjaman bagi seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu, syarikat mahupun kerajaan akan meningkat.

“Walaupun KWSP merupakan antara pelabur terbesar di pasaran modal negara namun penjualan pelaburan mereka akan menyebabkan kecairan berkurangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here