KPM perlu pantau universiti anugerah 398 penerima PhD

1
1

KETUA Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoalkan penganugerahan 398 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun ini yang dikatakan terlalu ramai.

Menurutnya, beliau hairan mengapa ketika Majlis Konvokesyen ke-44 UPM menganugerahan hampir 400 penerima PhD, sedangkan universiti terbaik dunia sekalipun hanya kurang 20 penerima setahun.

“Saya tertanya tanya mengapakah begitu ramai yang dianugerahi PhD di UPM sedangkan universiti universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun.

“Timbul tanda tanya bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan?

“Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, beliau mengambil contoh seperti Universiti Cambridge yang hanya melahirkan kurang dari sepuluh penerima PhD dalam setahun, mengambil kira tempoh lima tahun terakhir ini.

“Adakah PhD yang dihasilkan oleh UPM ini setaraf dengan universiti utama dunia atau mempunyai taraf berlainan?

“Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard (substandard) universiti ulung dunia, dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka apakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau menjelaskan penganugerahan PhD bukan perkara yang mudah kerana seseorang yang mempunyai PhD dianggap layak dan kompeten untuk melakukan kerja yang sesuai dengan kepakarannya.

Jelasnya, sekiranya kualiti PhD itu dikompromi maka kerja yang dilakukan kelak merisikokan organisasi yang mengupah mereka.

Sehubungan itu, Shamsul Iskandar mendesak Kementerian Pengajian Tinggi memantau universiti tempatan yang mengeluarkan begitu banyak graduan PhD dalam setahun dan meneliti kaedah penghasilan tahap pengajian itu.

Katanya, ia bagi mengelakkan kedudukan universiti di Malaysia merosot di peringkat antarabangsa yang tentunya meletakkan kepentingan kepada kualiti penyelidikan. – Malaysiapost

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here