POLIS mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan itu di Balai Polis Kota Tinggi pada jam 11.30 pagi tadi berhubung dakwaan salah laku berkenaan.
“Ya, benar kami ada menerima laporan berkenaan dan ianya masih dalam siasatan,” katanya memetik MalaysiaGazette.
Sebelum itu, laporan polis berkenaan gangguan seksual tersebut tular di media sosial.
Wanita berkenaan mendakwa telah diganggu secara seksual oleh Adun terbabit beberapa kali.
Dalam laporan polis yang dikongsikan itu, wanita berusia 25 tahun itu mendakwa kejadian pertama pada 2 Januari lalu, di mana ahli politik berkenaan cuba memegang tangan kanan dan pahanya di dalam kenderaan dari Kota Tinggi dalam misi membantu mangsa banjir.
Menurut laporan itu lagi, kejadian sama berulang ketika dalam perjalanan dari Kuala Sedili ke Kota Tinggi selepas pulang dalam siri lawatan mangsa banjir.
Ketika itu, mangsa mendakwa diraba di payudara dan wakil rakyat itu cuba memegang paha kiri, namun mangsa menepis dan hanya berdiam diri kerana takut.
Mangsa yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Kota Tinggi memberitahu yang dia juga diganggu sekali lagi pada 13 Januari lalu oleh ahli politik yang sama. – Malaysiapost

