Jawatankuasa Pilihan Khas tangguh bincang isu saham Azam Baki

0
1
Berita Harian copyright

MESYUARAT Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang sepatutnya diadakan pada 19 Januari ini bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangguhkan.

Difahamkan penangguhan itu berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Parlimen.

Berita penangguhan mesyuarat khas berkenaan dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang juga Ahli jawatankuasa terbabit selepas menerima notis penangguhan dikeluarkan pihak Parlimen, hari ini.

“Mesyuarat itu batal, saya baru dapat makluman tentang perkara itu dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat.

“Pergi tanya mereka, kenapa mesyuarat itu dibatalkan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Menurut William, pihaknya akan membuat perbincangan secara lebih mendalam bersama Pengerusi dan ahli jawatankuasa tersebut tentang perkara itu dalam masa yang terdekat.

Minggu lalu, seorang lagi ahli jawatankuasa berkenaan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin memaklumkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, akan dibincangkan dalam mesyuarat PSC pada Rabu ini di Parlimen.

Jawatankuasa itu, diketuai Ahli Parlimen PAS, Abdul Latiff Abdul Rahman, sementara ahli lain termasuk wakil daripada Barisan Nasional (BN) Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Parit Datuk Nizar Zakaria.

Ahli lain adalah Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau daripada Gabungan Parti Sarawak dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS).

Manakala Pakatan Harapan (PH) diwakili Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; serta Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman daripada Warisan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here