4 Ahli Parlimen pembangkang bantah tunda mesyuarat PSC

0
1

EMPAT Ahli Parlimen pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi- Agensi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) membantah keputusan Pengerusinya, Abdul Latiff Abdul Rahman untuk menunda mesyuarat berkenaan yang dijadualkan Rabu ini.

Menurut kenyataan bersama itu, pihak mereka turut tidak bersetuju dengan bantahan bertulis oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap mesyuarat itu, di mana dia perlu memberi keterangan.

“Azam seharusnya menghadiri mesyuarat PSC tersebut bagi mengemukakan isu-isu yang dibangkitkannya, bukan meremehkan surat panggilan pihak parlimen.

“Perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincang dan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Ahli-ahli PSC tersebut adalah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Aziz Jamman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

Menurut kenyataan itu, bidang kuasa PSC adalah bagi menentukan sama ada terdapat mekanisme yang efektif bagi menjalankan siasatan dan tindakan disiplin bagi perkara yang berlaku.

“Selain itu, kuasa-kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi memberikan keterangan adalah selaras dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. Oleh itu Azam sepatutnya menghormati perintah tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, empat Ahli Parlimen berkenaan menggesa PSC menetapkan tarikh baru bagi mesyuarat itu.

Terdahulu, mesyuarat PSC bagi agensi-agensi di bawah JPM yang dijadualkan Rabu ini dilaporkan ditangguh selepas Azam mengemukakan bantahan.

Beliau membantah cadangan agenda yang ditetapkan mesyuarat itu yang mahu dirinya hadir untuk mendapatkan penjelasan mengenai skandal pemilikan pegangan saham. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here