Umno menang besar PRU15, jika PM dilantik jadi Presiden

0
1
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2021. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada media ketika keluar dari Istana Negara selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

MINGGU ini kita dihidangkan persoalan besar iaitu adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi Presiden Umno? Perkara ini timbul apabila Tan Sri Annuar Musa menyambut pengumuman Setiausaha Agung Umno berkenaan ketetapan terkini Majlis Tertinggi Umno menyokong dan mengekalkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Sejarah Umno itu sendiri menyaksikan Perdana Menteri daripada Umno seperti Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi belum lagi menjadi Presiden Umno semasa mereka dilantik sebagai Perdana Menteri.

Setiap peristiwa yang berlaku ada sebab-musababnya pada ketika itu. Jika kita baca buku Jeneral Ibrahim Ismail, beliau mencatatkan bahawa keadaan yang tidak terkawal di Kuala Lumpur semasa 13 Mei 1969 menjadi faktor utama Tunku Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pada ketika itu politik Umno tiada masalah besar, maka tiada keperluan dalam Umno untuk menyerahkan kepimpinan Presiden Umno kepada Tun Abdul Razak. Tunku dalam ucapan perpisahannya sebagai Presiden Umno pada 23.1.1971 berkata beliau tidak mahu menjadi penghalang kemajuan Umno atau negara. Kata pepatah Inggeris, ‘proof of the pudding is in the eating’. Maka Tunku pun berkata, berilah sokongan penuh kepada Tun Abdul Razak memimpin parti dan mentadbir negara.

Tun Abdul Razak hanya menjadi Presiden Umno pada tahun 24.1.1971 selepas setahun menjadi Perdana Menteri pada 22.8.1970.

Maka semangat Tunku itu perlu dicontohi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan Umno di seluruh negara. Apatah lagi Ismail Sabri berjaya membuktikan kemampuannya mentadbir negara, politik negara dan sosioekonomi negara dengan harmoni.

Umno menang besar di Melaka kerana faktor itu. Parti Bersatu kalah besar walaupun di segenap pelusuk Melaka dipasang poster Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Sebaliknya Umno Melaka hanya menggunakan poster Ismail Sabri dan Keluarga Malaysia, tidak menggunakan gambar Zahid kerana masing-masing faham jika poster Zahid kesan buruk akan berlaku akibat tempias kes-kes di mahkamah.

Ismail Sabri bawa imej humble

Petunjuk itu sangat-sangat jelas, iaitu jika Umno dikemudi oleh Ismail Sabri sebagai Presiden Umno, maka kejayaan besar dan gemilang Umno akan berulang sebagaimana PRU11 ketika diterajui oleh Pak Lah. Ketika itu, Pak Lah membawa imej ‘Mr. Clean’. Hari ini, Ismail Sabri juga membawa imej clean lagi humble sangat-sangat memikat hati Nurani rakyat.

Jika kita kembali ke era Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa penuh selama 22 tahun dalam Umno dan kerajaan, tetapi satu-satunya Tun M tidak dapat lakukan ialah menyatukan parti-parti pembangkang utama seperti DAP dan PKR untuk bersetuju berganding bahu menyokong kerajaan dari luar.

Najib sendiri, menguasai penuh kerajaan dan Umno selama sembilan tahun tidak mampu mengawal DAP dan PKR.

Namun di bawah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, DAP dan PKR bukan sahaja tumbang di Melaka tetapi menyembah bumi di PRN Sarawak.

Maka, ‘argument’ apa lagi yang hendak dibentangkan untuk menguatkan hujah-hujah di sini. Dalam sains politik, anda tidak boleh membiarkan keadaan yang memihak kepada anda tidak digunakan sebaiknya. Peluang tidak datang dua kali. Sebab itulah Ketua Pemuda Umno tidak menang-menang dalam pilihan raya, sebab sentiasa bertentang arus.

Lihatlah kesilapan Najib, penulis bukunya Romen Bose menyatakan Najib terlepas peluang untuk menang besar jika Najib mengadakan PRU14 pada bulan Jun-Disember 2017.

Pada ketika itu, Tun Dr Mahathir dan Bersatu masih kelam-kabut untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR. Malangnya, Najib mahu juga menunggu persempadanan semula, akhirnya Najib tumbang kerana keadaan yang memihak kepadanya pada bulan Jun-Disember 2017 tidak digunakan.
Sekali lagi, peluang tidak akan datang dua kali. Ini teori Maslow juga.

Serupa kepada keadaan Umno hari ini, keadaan hari ini memihak kepada Umno dan BN. Ia dibuktikan dalam PRN Melaka dan Sarawak. Ia juga dibuktikan melalui laporan antarabangsa mengenai ekonomi Malaysia. Sudah pasti angka-angka di Bursa Saham akan meningkat lagi jika negara mempunyai kepimpinan yang kuat dalam parti dan kerajaan, terutama kestabilan politik.

New Hope

Ismail Sabri adalah harapan baru, new hope kepada ahli perniagaan dalam dan luar negara. Kepimpinan Umno hendaklah pandang ke hadapan. Jangan lepaskan peluang yang ada, apatah lagi pakatan pembangkang semakin merudum di mata rakyat.

Bukan kita kata Zahid tidak baik menjadi Perdana Menteri, seluruh rakyat mengetahui kes mahkamahnya yang akan memberi kesan buruk kepada Umno. Keadaan ketika ini tidak memihak kepada Zahid, itu sahaja. Tidak ada kebencian kepada Zahid.

Begitu juga Najib, tidak ada kebencian tetapi kes mahkamah terutama kes 1MDB masih lagi belum selesai. Semasa PRU14, isu 1MDB penyebab utama Umno dan BN tersungkur. Umno dan kerajaan pasti tidak mahu ia berulang lagi.

Mahu tidak mahu, satu-satunya calon yang diterima oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri pada Ogos lepas ialah Ismail Sabri, maka hari ini Ismail Sabri jugalah yang paling sesuai menjawat jawatan Presiden Umno.

Fikir-fikirkanlah. Cerdik-cerdiklah sedikit. Keluarlah dari kepompong. Berfikirlah di luar kotak.
.

Dr Zach
Penulis ialah pemerhati politik yang berpengalaman dalam bidang kenegaraan
(Artikel ini adalah pendangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here