Lelaki cuba samun, cederakan pembantu rumah ditahan

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SEORANG lelaki ditahan kerana dipercayai mencederakan seorang pembantu rumah warga asing menggunakan pisau dalam satu kejadian samun tepi jalan di Seksyen 4 Petaling Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 12.28 tengah hari semalam.

Menurutnya, mangsa yang berusia 50 tahun cedera di pergelangan tangan kiri akibat ditoreh dengan pisau oleh suspek.

“Berdasarkan maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berjaya menahan seorang lelaki, kira-kira jam 10.30 malam tadi di kawasan tempat letak kereta Taman Sri Manja, Petaling Jaya.

“Semasa tangkapan dibuat, suspek yang berusia 32 tahun bertindak agresif dan cuba melarikan diri tetapi gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod kes jenayah serta lima kes dadah.

“Selain itu, ujian saringan awal air kencing mendapatinya positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

“Kita turut merampas satu telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan dua kamera litar tertutup daripada suspek.

“Pemeriksaan mendapati motosikal jenis Honda EX5 itu dipercayai motosikal curi dan dilaporkan hilang di ibu negara,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mengakui mahu menyamun mangsa dengan mengacukan pisau.

“Bagaimanapun dia tidak sempat melarikan barang milik mangsa dan terus melarikan diri kerana diperhatikan orang awam yang ada di lokasi kejadian.

“Berikutan penahanan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes samun yang berlaku di sekitar daerah Petaling Jaya.

“Suspek kini direman enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here