Transaksi RFID laluan Juru-Skudai mulai 15 Januari

0
1

BERMULA jam 10 malam 15 Januari ini, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk membayar tol apabila transaksi tol menggunakan teknologi RFID diperluaskan ke laluan Juru hingga Skudai.

Susulan itu, semua 83 plaza tol PLUS akan menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong RFID untuk membolehkan pengguna lebuh raya melengkapkan transaksi tol.

Pada masa sama, pengguna kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) masih boleh menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata dengan pelaksanaan itu, pelanggan kenderaan Kelas 1 PLUS kini boleh beralih kepada RFID untuk menikmati pengalaman perjalanan lebih lancar, tanpa sentuh dan menggunakan transaksi e-Dompet.

“Bermula jam 10 malam pada 15 Januari ini, pelanggan RFID Touch ‘n Go yang telahpun menggunakan kaedah tersebut untuk membayar tol di lebuhraya lain sebelum ini, boleh menggunakan teknologi itu secara menyeluruh di PLUS,” katanya hari ini.

Ketika ini, terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuh raya yang telah menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuh raya lain khususnya di Lembah Klang.

Pelekat RFID Touch ‘n Go dijual pada harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara (rujuk laman web Touch ‘n Go ttps://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres ) dan secara dalam talian.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung RFID dan bagaimana ia boleh membantu mereka menikmati perjalanan lebuh raya dengan lancar di http://rfid.plus.com.my – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here