Lagi harimau keluar habitat di Kelantan?

0
1

KELIBAT dua ekor harimau belang berkeliaran keluar dari kawasan semak didakwa di Pos Bihai, Gua Musang mencetuskan kebimbangan orang ramai apakah nasib habitat sebenar haiwan liar itu.

Menerusi rakaman video berdurasi 25 saat yang tular di laman Twitter memaparkan dua harimau belang itu pada mulanya bersembunyi di sebalik semak sebelum menuju ke jalan tanah merah.

Seperti jangkaan ramai, kelibat haiwan liar itu dirakam di sebuah jalan yang difahamkan laluan jentera berat bagi aktiviti pembalakan.

Dalam video itu juga jelas kedengaran bunyi jentera yang kuat, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia lori balak atau jentera lain.

Sebelum ini, media melaporkan berdasarkan maklumat penduduk, terdapat 11 ekor harimau belang yang dikatakan berkeliaran di kawasan itu.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani dalam kenyataan semalam mengesahkan setakat ini hanya tiga harimau itu yang dikesan di Pos Bihai dan kawasan sekitarnya.

Pengesahan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa terdapat 11 harimau belang berkeliaran di perkampungan Orang Asli berkenaan.

Menurutnya, pasukannya akan terus membuat pemantauan dan memasang perangkap yang dilengkapi kamera di Kampung Tendrik dan Kampung Hak di Pos Bihai.

Jumaat lalu, seorang lelaki Orang Asli dilaporkan maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here