AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas tindakan pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan menyokong Tan Sri Azam Baki.
Menurut Mohd Puad, pihak yang menyokong Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak perlu berbuat demikian, kerana tidak ada sesiapa yang menuduh Azam bersalah.
Namun, katanya, apa yang rakyat mahukan adalah siasatan terhadap kes membabitkan Azam perlu dilakukan dengan segera dan bebas.
“Beberapa pihak buat kenyataan pertahankan Azam Baki. Terbaru, Persatuan Bekas Pegawai SPRM. Pada mereka seseorang itu tidak bersalah sebelum dibuktikan oleh Mahkamah.
“Itu semua orang tahu. Tidak ada siapa yang tuduh Azam Baki bersalah. Apa yang rakyat mahu ialah buat siasatan. Dan siasatan itu mesti bebas dan segera,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan pihak berkenaan yang meminta rakyat tidak membuat spekulasi.
“Persatuan itu minta rakyat jangan buat spekulasi. Setuju. Tetapi yang ‘kaki sokong’ juga punca rakyat buat spekulasi.
“Contoh, perang antara Abu Zahar dengan ahli ahli panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),” katanya.
Baru-baru ini, Persatuan bekas pegawai SPRM menggesa semua pihak berhenti membuat spekulasi ketika menunggu siasatan berhubung isu pegangan saham yang dikaitkan dengan Azam.
Presidennya Datuk Mazlan Mohamad berkata, pihaknya memandang serius dakwaan terhadap Azam namun berpegang teguh kepada prinsip undang-undang. – Malaysiapost

