HOSPITAL Kuala Lumpur (HKL) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pegawainya berhubung isu tular perkhidmatan MyUbat yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ia susulan aduan yang tular di media sosial bertajuk “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak biadap menjawablah kau kat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)” pada 10 Januari lalu.
Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan berkata HKL telah mengenalpasti pegawai berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.
“Pihak HKL akan mengambil tindakan untuk penambahbaikan perkhidmatan di semua kaunter perkhidmatan yang disediakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Rohana berkata siasatan mendapati terdapat kekeliruan antara pengadu dengan pegawai yang bertugas, di mana perkhidmatan MyUbat tidak dapat dilaksanakan bagi ubat tertentu berikutan kekangan stok bekalan yang terhad bagi ubatan tersebut.
“Justeru bagi melaksanakan aplikasi MyUbat dan penghantaran melalui pos memerlukan pembungkusan dua minggu lebih awal daripada tarikh pesakit menerima ubat tersebut.
“Perkhidmatan MyUbat akan dapat dilaksanakan seperti biasa apabila stok bekalan ubat kembali normal,” katanya.
Terdahulu pengguna media sosial bernama Syafarizal Sharif mendakwa dilayan dengan biadap oleh petugas HKL di kaunter Farmasi Satelit 2 pada 10 Januari, berhubung penghantaran ubat menerusi MyUbat.
Menurut pengadu, dia diberitahu oleh petugas tersebut perkhidmatan MyUbat tidak boleh digunakan lagi dan ubat-ubatan perlu diambil sendiri di HKL dua minggu sekali.
Pengadu juga mendakwa, ketika menjelaskan masalah dihadapinya, petugas HKL berkenaan menjawab ‘not my problem’ sebelum beredar dan bercakap sesama mereka jika nak ubat pergilah ke hospital lain. – Malaysiapost

