Jambatan gantung usang di Sandakan sudah dibaik pulih

0
1

JAMBATAN gantung usang dan berbahaya di Kampung Nelayan Tengah di Batu 10, Sandakan yang tular digunakan pelajar untuk ke sekolah semalam, sudah dibaiki.

Perkara itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik yang juga Ketua Umno Liberal, Datuk Suhaimi Nasir yang memaklumkan jambatan tersebut kini selamat untuk digunakan.

Katanya, ia dibaiki atas inisiatif Umno bahagian Libaran dan penduduk kampung yang bergotong-royong membaik pulih jambatan gantung tersebut.

“Baik pulih jambatan gantung Kampung Nelayan Tengah Batu 10 yang viral semalam telah pun dimulakan dan disiapkan untuk digunakan dalam keadaan lebih baik dan selamat untuk dilalui penduduk sekitarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Suhaimi menjelaskan, pada 28 November lalu beliau telah membuat lawatan kerja bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang turut dihadiri Timbalan Presidennya, Faridah Giau serta jurutera majlis.

Katanya, hasil lawatan tersebut MPS bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan selepas pengiraan kos anggaran dan peruntukan dikeluarkan untuk melantik kontraktor.

Semalam tular gambar sekumpulan murid melalui jambatan berkenaan yang usang untuk hadir pada hari pertama persekolahan.

Murid tersebut tinggal di Kampung Nelayan Tengah dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sibuga Besar.

Terdahulu hari ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memaklumkan akan melaksanakan langkah awal bagi projek membaikpulih jambatan gantung usang itu bermula minggu ketiga Januari ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya telah memberi perhatian segera mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, pejabat KPLB Sabah juga telah turun ke lapangan untuk membuat siasatan dan akan mengemukakan laporan terperinci termasuk kos untuk pelaksanaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here