PENGUSAHA penghantaran makanan (p-hailling) terkemuka FoodPanda berhasrat melaksana program tanggungjawab sosial (CSR) di Pekan.
Berita itu dikongsi Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebooknya yang memaklumkan syarikat p-hailling itu sedia menghulurkan bantuan CSR kepada penduduk di Parlimen Pekan.
“Bagi penduduk Pekan semua, saya sampaikan penghargaan kepada FoodPanda dan NGO-NGO lain yang sering menghulurkan bantuan,” katanya.
Menerusi hantaran itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan memaparkan gambar beliau menyantuni kunjungan Pengarah Urusan FoodPanda, Sayantan Das di Pekan, hari ini.
“Menerima kunjungan hormat. Bertukar pandangan mengenai keadaan ekonomi dan perniagaan semasa.
“Saya juga menggalakkan pelaburan perniagaan yang berterusan. Banyak peluang yang ada terutamanya industri halal,” katanya.
Pada masa sama, Najib menyifatkan Malaysia perlu kembali kepada landasan pembangunan yang stabil dan mesra pelabur.
“Beberapa tahun ini sejak 2018, kita dapat lihat bagaimana ia membawa kesan kepada pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan.
“Ada usahawan-usahawan dan pelabur-pelabur lain juga yang mahu berjumpa. Saya cuba bantu apa yang boleh, usahakan sama-sama,” katanya. -Malaysiapost

