UMMAH mahu PM cutikan Azam Baki 

0
1

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berehat dan bercuti sepanjang tempoh siasatan ke atasnya dijalankan. 

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata UMMAH akan menghantar satu memorandum kepada Ismail Sabri bagi mendesak beliau mengarahkan satu siasatan teliti dibuat di bawah kendalian Jawatankuasa Parlimen oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

“Institusi SPRM dan Ketua Pesuruhjaya mestilah dilihat bersih, bebas dan berintegriti tinggi. 

“Selagi Azam masih menerajui SPRM dalam keadaan beliau juga mempuyai kes dalam siasatan, akan meletakkan institusi SPRM dalam dilema, tidak bebas dan hilang kepercayaan oleh rakyat. 

“Ini juga akan melibatkan hilangnya kepercayaan rakyat kepada kepimpinan kerajaan yang ada khususnya Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Zai berkata, UMMAH telah meneliti kenyataan Azam pada 5 Januari lalu dan kenyataan enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang tidak selari, mencurigakan dan mengejutkan rakyat. 

Katanya, ia berkenaan isu melibatkan pembelian saham bernilai jutaan ringgit yang didakwa akaun Azam digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki. 

“Perbuatan ini bertentangan dengan Seksyen 25 SICDA dimana setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama akaun pemilik. 

“Perbuatan yang dilakukan Azam sebagai Ketua Pesuruhajaya boleh menimbulkan perspektif yang sangat negatif kepada institusi ketua pesuruhjaya SPRM dan institusi SPRM sendiri,” ujarnya. 

Beliau berkata, keadaan tersebut sangat menjejaskan reputasi SPRM sebagai sebuah institusi yang berintegriti tinggi di dalam mahupun di luar negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here