Pelakon mengaku miliki, hisap dadah

0
1
Polis Di Raja Malaysia

PELAKON, pengarah dan penolong pengarah sebuah produksi yang ditahan berhubung kes dadah di Kuala Kangsar pada Oktober lalu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu pelakon, Niezam Zaidi atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 30; pengarah, Mohd Latiff Zami, 50; dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 48, mengaku bersalah  memiliki dan memasukkan dadah dalam badan.

Memetik laporan Sinar Harian, hukuman itu dibuat Majistret Mohd Shazmeer Zamhari selepas pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dibacakan secara berasingan.

Mohd Shazmeer turut memerintahkan kesemua mereka menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) antara dua hingga tiga tahun serta hukuman penjara sehingga lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Niezam mengaku bersalah memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira jam 7.15 pagi, 10 Oktober 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pelakon filem Budak Pailang itu juga mengaku bersalah pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan tiga tahun pengawasan.

Niezam diwakili Peguam Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan memandangkan pendapatannya terjejas sejak ditangkap serta perlu menanggung ibu yang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh merupakan individu yang dikenali ramai.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan Niezam membayar denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal dikenakan lima bulan penjara serta dua tahun pengawasan.

Sementara itu, Mohd Latiff yang mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 0.20 gram dadah jenis kanabis diperintahkan membayar denda RM1,800 dan jika gagal boleh dikenakan empat bulan penjara.

Bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan pula, bapa kepada enam anak itu dikenakan denda RM2,000 dan lima bulan penjara sekiranya gagal bayar serta tiga tahun pengawasan AADK.

Saiful Zaidrin pula dikenakan denda RM4,000, lima bulan penjara jika gagal bayar denda serta dua tahun pengawasan selepas mengaku memiliki dan memasukkan dadah dalam badan jenis methamphetamine di lokasi dan tarikh yang sama.

Pada 10 Oktober lalu, ketiga-tiga mereka ditahan oleh polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis ganja dan syabu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here