KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati tiada stok vaksin Covid-19 yang luput dibekalkan kepada mana-mana Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setakat ini.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza Halim berkata, semakan yang dibuat susulan beberapa muat naik dan video yang tular berkenaan dakwaan vaksin Covid-19 diberikan kepada penerima telah atau hampir luput, mendapati perkara itu tidak berlaku.
Menurutnya, bagaimanapun sesetengah dakwaan berkenaan tidak dapat disiasat dengan sewajarnya kerana lokasi dan tarikh kejadian serta maklumat produk yang terbabit tidak dinyatakan.
“KKM mantau secara berterusan bekalan Dana tarikh luput vaksin Covid-19 yang diterima oleh PSV dan PPV dengan menggunapakai Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) selain sistem inventori sedia ada yang terdapat di fasiliti terbabit dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Berdasarkan semakan, tiada stok vaksin yang luput dibekalkan kepada PSV atau PPV,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, untuk makluman pihak pengilang hanya dibenarkan untuk meletak tarikh luput berdasarkan tempoh kestabilan vaksin yang telah diuji pada masa nyata dan bukan secara ekstrapolasi.
“Sekiranya pihak pengilang mempunyai data tambahan selepas ujian lanjut dijalankan, permohonan lanjutan jangka hayat vaksin akan dikemukakan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai.
“Pelanjutan tempoh jangka hayat hanya akan diluluskan setelah hasil penilaian dapat mengesahkan ia memenuhi keperluan ragulatori. Malah, ini juga terpakai kepada semua produk farmaseutikal lain yang sedia berdaftar,” katanya.
Norhaliza berkata, selain itu tempoh jangka hayat vaksin Covid-19 juga akan berubah sekiranya terdapat perubahan kepada suhu penyimpanan.
Beliau berkata, sebagai maklumat tambahan, NPRA telah meluluskan permohonan pelanjutan jangka hayat bagi vaksin Comirnaty daripada enam bulan kepada sembilan bulan.
“Vaksin CoronaVac yang dikilangkan oleh Sinovac, China (daripada 9 bulan kepada 12 bulan) dan vaksin CoronaVac yang dikilangkan Pharmaniaga Lifesience, Malaysia (daripada 6 bulan kepada 12 bulan).
“NPRA juga telah meluluskan. pelanjutan tempoh jangka hayat bagi produk vaksin Convidecia daripada enam bulan kepada 12 bulan pada 17 Disember 2021,” katanya.
Menurutnya, KKM sentiasa komited untuk memastikan semua produk farmaseutikal termasuk vaksin Covid-19 yang dibekalkan kepada penduduk Malaysia telah dinilai dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA serta diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Penilaian manfaat-risiko bagi vaksin Covid-19 yang diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat dilaksanakan secara berterusan berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost

