Selepas 35 tahun, pembinaan kompleks UTK bakal jadi kenyataan 

0
1

SELEPAS 35 tahun, pembinaan Kompleks Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menjadi kenyataan apabila dijangka siap sepenuhnya pada 19 Mac 2024.  

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kewujudan Kompleks  UTK yang bakal terbina kelak, diyakini dapat memperkemas lagi gerak kerja pasukan elit itu yang sentiasa terdedah risiko keselamatan tinggi semasa bertugas.  

Katanya, ia juga secara tidak langsung  akan meningkatkan imej UTK khasnya dan PDRM amnya, dalam memberi perkhidmatan terbaik menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.  

“InsyaAllah, kita bakal menyaksikan pembinaan baharu Pejabat dan Pusat Latihan UTK, yang dijangka akan siap sepenuhnya pada 19 Mac 2024 kelak. 

“InsyaAllah, apabila siap kelak, sebuah kompleks pentadbiran serta operasi akan tersergam indah di tapak ini, termasuk Bilik Keselamatan VVIP dengan dilengkapi teknologi canggih yang terkini. 

“Saya juga difahamkan kompleks ini juga akan dilengkapi dengan Pusat Latihan untuk para operatif UTK,” katanya pada majlis perasmian pecah tanah pejabat dan pusat latihan UTK di Semenyih hari ini. 

Majlis itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.  

Acryl Sani berkata kemudahan latihan yang serba moden itu berupaya meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan operatif UTK dalam apa jua keadaan dan ancaman, selain melahirkan individu berkemahiran tinggi dalam penugasan masing-masing,” katanya. 

Dalam ucapannya, Acryl Sani mengimbau usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyediakan sebuah kompleks UTK sejak dari tahun 1987.  

“Jika disingkap perjalanannya, cadangan pembinaan kompleks UTK ini telah bermula sejak tahun 1987 lagi, setelah mengambil kira keanggotaan warganya yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.  

“Sesungguhnya, kita hanya mampu merancang dan kemampuan manusia merancang amat terbatas, kerana sebaik-sebaik perancang adalah Tuhan seru sekalian alam.  

“Pada awalnya, tapak pembinaan kompleks baharu ini dicadangkan di Shah Alam, namun sepanjang tempoh dari tahun 1987 sehingga 2016, lokasi projek bertukar dari satu tempat ke satu tempat yang lain. 

“Alhamdulillah, segala usaha dan jerih perih serta penantian kepimpinan UTK sejak tahun 1987 akhirnya terbalas, apabila pada tahun 2016, tapak projek tersebut diputuskan di Kem Batalion 4, PGA Semenyih, setelah diluluskan peruntukannya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 Rolling Plan 2,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here