Pengarah urusan, jurutera ditahan SPRM

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah urusan sebuah syarikat dan jurutera, malam tadi kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM250,000.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan selepas dipercayai membuat tuntutan palsu berkenaan bagi projek pembinaan jambatan sementara di Segamat.

Memetik laporan Berita Harian, suspek yang masing-masing berusia 52 dan 41 itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira jam 7 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

Difahamkan, pada 2016 hingga 2020, kedua-dua suspek bersubahat dalam mengemukakan dan memperakukan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di daerah Segamat bagi projek pembinaan jambatan sementara bernilai lebih RM4 juta.

Bagaimanapun kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan tidak dilaksanakan hingga kini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Kedua-kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi ini, bagi mendapatkan perintah permohonan reman,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here