MUDA disiasat kerana polis terima aduan – Polis Johor

0
1

POLIS tidak beranggapan bahawa mana-mana sukarelawan daripada badan bukan kerajaan atau parti politik yang memberi bantuan untuk mangsa banjir di Johor adalah melakukan kesalahan undang-undang.

Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin, berkata bagaimanapun pihaknya akan melakukan siasatan sekiranya terdapat laporan polis berhubung pemberian bantuan terbabit.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut peruntukan perundangan secara adil dan saksama untuk mengetahui sama ada terdapat pelanggaran undang-undang atau tidak.

Beliau merujuk kepada isu dibangkitkan oleh Presiden Parti Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung enam sukarelawannya yang disiasat kerana dikatakan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika memberi bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

“Kerajaan negeri menerusi pejabat daerah sudah mengeluarkan tatacara, prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan bertujuan penyelarasan dan keselamatan demi kebaikan semua pihak berkaitan.

“Berkaitan dengan perkara tersebut (siasatan), terdapat laporan polis yang diterima oleh Polis Johor terhadap sebuah parti politik yang dikaitkan dengan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jika terdapat laporan yang diterima, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menjalankan siasatan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebelum pertuduhan dibuat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dan platform lain untuk sebarang perbuatan menyalahi undang-undang.

Semalam, Syed Saddiq dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosilanya mendakwa enam sukarelawan parti itu disoal siasat polis kerana menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di rumah dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Syed Saddiq memohon polis tidak melayan sukarelawan parti itu seperti penjenayah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here