Periksa invois sebelum setuju baiki kereta banjir

0
1

MANGSA banjir yang hendak membaiki kenderaan mereka disarankan untuk mendapatkan anggaran sebut harga atau invois terlebih dari pihak bengkel, sebelum bersetuju dengan caj yang dikenakan.

Perkara itu penting memandangkan ada pemilik bengkel yang didakwa mengambil kesempatan mengenakan bayaran tinggi mencecah puluhan ribu ringgit untuk memperbaiki kereta rosak yang ditenggelami banjir.

Pengasas bengkel Scrut Auto, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, berkata pemilik kereta juga dinasihati untuk menghubungi bengkel yang dikenali terlebih dahulu untuk mendapatkan slot pemeriksaan dan sebut harga.

“Jangan terus hantar, kerana kebanyak bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kerena anda,” katanya.

Nik Muhammad Izwan berkata, beliau mengakui dalam situasi hari ini banyak pihak termasuk pengusaha bengkel kereta yang tamak mengambil kesempatan daripada kejadian berlaku disebabkan permintaan tinggi.

“Terutamanya musim banjir kali ini, kerana terlalu banyak tempat yang terlibat, kebanyakan bengkel di Lembah Klang penuh dan difahamkan masih banyak kereta-kereta (tersadai) yang masih belum ditarik keluar untuk dibaiki,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Izwan berkata, sikap pemilik kenderaan yang tidak mengambil kisah dan menyerahkan sepenuhnya urusan memperbaiki kereta kepada mekanik menyebabkan mereka senang ditipu.

“Biasa terjadi hal-hal sebegitu (ditipu) kerana kecuaian kita sendiri yang bersifat tidak kisah.

“Seperti kata-kata, ‘buat je apa yang patut, nanti saya bayar.’ Tanpa meminta sebut harga dulu. Untuk pengetahuan, setiap kereta berbeza harga alat ganti dan kos penyelenggaraan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan kepada supaya pemilik segera menghantar kenderaan mereka yang rosak ke bengkel untuk dibaiki.

“Kenderaan yang terjejas banjir hendaklah dihantar ke bengkel secepat mungkin bagi mengelakkan kos pembaikan naik susulan lumpur yang ada di dalam kereta mengeras dan menyukarkan kerja pembaikan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Pengasas bengkel Scrut Auto, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin, berkata pengusaha bengkel juga harus bijak memilih pelanggan.

“Jika pelanggan tidak mampu bayar, kerugian akan berlaku kepada pihak pengusaha bengkel pula.

“Di Scrut Auto, kami mendahulukan pelanggan yang dikenali sebagai keutamaan, kemudian barulah pelanggan baru jika ada slot kosong,” katanya.

Ahmad Aliff berkata, pihaknya akan memberikan anggaran sebut harga berdasarkan kerosakkan sebelum menunggu persetujuan pemilik kereta.

“Jika tidak bersetuju. Hanya bayar kos pemeriksaan dan diagnosis sahaja, kemudian boleh dibawa kereta anda ke bengkel lain. Begitulah praktis kami di sini.

“Setiap bengkel ada kadar harga sendiri. Kalau di Scrut Auto, kami menekankan kualiti dan servis terbaik. Bukan ala kadar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir boleh memanfaatkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif terlibat tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan pusat servis dan pengedar sah.

Menurut beliau, setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here