KTMB siasat kes kereta api tidak berhenti, 100 pelajar terkandas

0
1

KERETAPI Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan menyiasat insiden kereta api tidak berhenti mengambil pelajar sekolah di hentian Kuala Gris, Kuala Krai, Kelantan, pagi tadi.

KTMB dalam kenyataan, berkata kakitangan yang terlibat telah digantung tugas dan tindakan disiplin akan diambil jika berlaku kecuaian.

“Siasatan telah dijalankan dan pihak KTMB mengesahkan tren ‘Shuttle Timuran No 51’ yang berlepas dari Steen Tumpat pada jam 4.05 pagi tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada jam 7.08 pagi.

“KTMB memandang serius dan berasa kesal dengan kejadian lebih – lebih lagi melibatkan 100 pelajar sekolah SMK Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terlibat dan kesal atas kejadian yang berlaku.

“Tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin inside yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, kira-kira 100 pelajar di Kampung Kuala Gris, di sini ‘terkandas’ apabila kereta api yang sepatutnya tiba jam 7 pagi tidak berhenti di hentian tersebut, hari ini.

Rata-rata pelajar yang bersemangat ke sekolah hari ini melahirkan rasa sedih apabila kereta api yang sepatutnya dinaiki mereka tidak berhenti di Stesen Kuala Gris.

Selepas menunggu 30 minit di hentian tersebut mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan tidak hadir ke sekolah pada hari pertama ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here