MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin meminta orang ramai untuk menyemak terlebih dahulu tarikh kenyataan berkaitan suntikan vaksin Covid-19, sebelum dikongsikan kepada umum.
Beliau berkata, sikap bertanggungjawab itu penting bagi mengelak menularkan kembali kenyataan lama yang boleh memberi ketakutan kepada orang awam terhadap vaksin.
Tegas Khairy, pengetahuan saintis tentang virus SARS-CoV2 sentiasa dikemaskini sebab virus itu adalah baharu.
“Contoh: dulu mungkin pakar tidak syorkan dos penggalak untuk semua, tapi sekarang lain.
“Tengok tarikh statement. Jangan tular statement lama sahaja untuk tujuan menakutkan orang,” katanya menerusi laman sosial Twitter miliknya hari ini.
Terdahulu, tular di aplikasi Whatsapp, memohon kerajaan Malaysia supaya serta-merta menghentikan program suntikan vaksin Covid-19 dos ketiga bagi mengelakkan berjuta-juta rakyat mati.
Permintaan itu dibuat selepas individu atau pihak terbabit merujuk kepada artikel daripada sebuah portal negara yang menyatakan juri FDA menolak suntikan penggalak Pfizer untuk majoriti rakyat di Amerika Syarikat. – Malaysiapost

