6 ahli LPPR tidak setuju tindakan Abu Zahar

0
1

ENAM ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak menyokong tindakan pengerusinya untuk membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki daripada sebarang salah laku.

Menerusi kenyataan hari ini, mereka berkata, keputusan yang dibuat Abu Zahar menerusi sidang media pada Rabu lalu berhubung isu itu adalah pandangan peribadi beliau semata-mata.

“Ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak menyatakan pendapat seperti yang disifatkan Abu Zahar,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, enam ahli lembaga penasihat LPPR itu berkata, sebelum sidang media berkenaan, mereka telah mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar.

“Kami turut mencadangkan perkara ini dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa seperti Jawatankuasa Bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dan Panel Aduan SPRM.

“Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan dalam sidang media Abu Zahar.

“LPPR tidak mempunyai kuasa penyiasatan kerana ia ditubuhkan sebagai Lembaga Penasihat. Kami perlu memberikan penjelasan ini untuk menjaga integriti lembaga dan institusi,” katanya.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular akhir-akhir ini.

Abu Zahar yang turut hadir pada sidang media berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here