Raja Bomoh, Puteri Zaleha dibebaskan dengan jaminan

0
1

LELAKI digelar Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam, dibebaskan dengan jaminan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, hari ini.

Ibrahim, 71, bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62, yang digelar Puteri Zaleha masing-masing diperintahkan membayar wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak membenarkan jaminan itu susulan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak yang dikemukakan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding itu kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

Dalam prosiding itu, Suhaili memberitahu mahkamah bahawa dua individu terbabit telah disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang, 6 Januari lepas.

Bagi tujuan siasatan itu, dikemukakan agar kedua-dua mereka diberikan satu pembebasan dengan satu cagaran penjamin oleh mahkamah.

Suhaili memohon agar mahkamah mengenakan kadar jaminan maksimum RM3,000 mengambil kira kepentingan awam memandangkan kes yang telah tular dan mendapat perhatian umum.

Dalam rayuannya, Ibrahim yang mempunyai 32 anak dan tiga isteri, manakala Suliaha merupakan pesara penjawat awam memohon agar jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM3,000 setiap seorang dan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua individu terbabit disiasat susulan melakukan ritual menolak banjir di Dataran JPS di Teluk Intan dan video ritual itu kemudian tular di media sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here