
POLIS mula menyiasat laporan dibuat terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata difahamkan ketika ini Azam sedang disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Kita baru dapat laporan dan jika kesalahan dilakukan mengikut akta Sekuriti Malaysia, mereka akan siasat.
“Kita juga terima laporan polis dibuat, kalau ada kesalahan lain kita akan mulakan siasatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Sebelum ini, Azam mendakwa adiknya menggunakan akaunnya untuk membeli saham dan saham berkenaan sudah dipindahkan kembali kepada adiknya.
Susulan kenyataan itu, beberapa Ahli Parlimen PKR membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini. – Malaysiapost
