Orang asli maut dibaham harimau

0
1

SEORANG lelaki Orang Asli maut dibaham seekor harimau belang dalam kejadian di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo, berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Anek Along.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada jam 1.30 petang yang memaklumkan seorang lelaki orang asli telah dibaham harimau.

“Sebelum kejadian, mangsa bersama anak perempuannya sedang menumbuk padi pada jam 9.10 pagi di kawasan belakang rumah.

“Kemudian anak mangsa mendapati bapanya telah tiada walaupun telah dipanggil beberapa kali,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurutnya, anak mangsa kemudian mencari bapanya di belakang rumah dan mendapati terdapat kesan darah pada daun-daun pokok, sebelum bertindak meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari bapanya.

Choon Foo berkata, berpandukan kesan darah pada daun-daun pokok, penduduk kampung telah ternampak harimau dan bertindak melontarkan lembing ke arah haiwan berkenaan.

“Lontaran (lembing) itu dipercayai telah mengenai harimau tersebut. Haiwan berkenaan kemudian telah melarikan diri dan penduduk kampung bergegas melaporkan perkara itu itu kepada pihak Perhilitan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai.

“Pihak kami tiba di tempat kejadian pada jam 5.40 petang dan mayat mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan pasukan untuk dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu difahamkan harimau belang terbabit terpaksa ditembak mati oleh Jabatan Perhilitan susulan membahayakan nyawa pegawai Perhilitan dan juga penduduk kampung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here