Kegagalan Harimau Malaysia, FAM tubuh badan siasatan bebas

0
1

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya dianggotai individu-individu di luar badan induk itu bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu.

Sehubungan itu, FAM melantik bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan untuk mengetuai badan siasatan bebas tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas.

Individu terbabit, katanya, terdiri mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan bebas ini adalah melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura.

“Laporan tersebut telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hamidin berkata hasil bedah siasat badan siasatan bebas itu seterusnya akan dibentangkan oleh Dell Akbar bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe hanya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja dan Laos, namun tewas baki dua aksi Kumpulan B kepada Vietnam dan Indonesia, sekali gus gagal ke separuh akhir. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here