SERAMAI 44,573 atau 85.7 peratus ketua isi rumah yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini, telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000.
Perkembangan itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di media sosial miliknya hari ini.
Sehubungan itu beliau meminta mangsa banjir yang masih belum mendaftar untuk menerima BWI, agar segera berbuat demikian bagi membolehkan kerajaan menghulurkan bantuan.
“Kepada mereka yang masih belum mendaftar, segera hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pegawai Daerah untuk bantuan segera Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Setakat 27 Disember lalu, kerajaan memperuntukkan RM34 juta BWI untuk disalurkan kepada 34,000 ketua isi rumah di negeri-negeri yang terjejas banjir.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata jumlah anggaran itu adalah berdasarkan maklumat ketua isi rumah yang berdaftar di Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Katanya, usaha mengenalpasti mangsa yang tidak berdaftar giat dilaksanakan PKOB dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan BWI dapat disalurkan segera.
Pada masa sama, BWI sebanyak RM1,000 kepada ketua isi rumah dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri.
Bantuan diselaraskan di peringkat PKOB dengan kerjasama ICU melalui tiga kaedah iaitu serahan tunai di PKOB atau serahan tunai rumah ke rumah serta pemindahan tunai secara atas talian (EFT). – Malaysiapost

