Najamuddin Mohd Nor
JAWATAN Timbalan Perdana Menteri wajar diwujudkan semula bagi memastikan kelancaran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penganalisis Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata kewujudan Timbalan Perdana Menteri dapat mengurangkan beban kerja Perdana Menteri yang ketika ini dilihat tidak menerima komitmen jitu daripada menteri-menteri kanan yang dilantiknya.
“Malaysia kena kembali struktur kerajaan yang memiliki Timbalan Perdana Menteri. Sekarang ini, dengan para menteri kanan yang ada, mereka jadi ‘blur’, keliru dan tak tahu nak buat apa membantu Perdana Menteri.
“Sekurang-kurangnya, kalau Perdana Menteri ada kerja di sini (satu kawasan) , Timbalan Perdana Menteri boleh mengambil tanggungjawab atau membantu tugas Perdana Menteri di kawasan lain.
“Tapi sekarang ni, kita dapat lihat, menteri-menteri kanan yang ada jadi keliru, siapa yang perlu mengisi tugas yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Paling ketara, Dr Salawati menjelaskan, ketika negara menghadapi banjir besar baru-baru ini, kekangan untuk Perdana Menteri meninjau setiap kawasan bencana dalam satu masa agak terbatas.
“Tak payahlah menteri kanan ke, menteri kiri ke, mereka yang dilantik dilihat gagal membantu Ismail Sabri. Sudah sampai masanya beliau melantik Timbalan yang dapat membantunya.
“Kita tengok bila Perdana Menteri melawat kawasan banjir di suatu kawasan pada mula-mula bencana itu berlaku, tiada menteri kanan yang pergi melawat di kawasan bencana lain menggalas membantu tugas Perdana Menteri, mereka semua keliru siapa yang patut ke pergi.
“Ini telah menyebabkan rakyat marah, mereka rasa kerajaan tidak menghiraukan nasib mereka pada awalnya, lagi satu dengan adanya Timbalan Perdana Menteri, ia dapat membantu mengetuai agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bencana, tak ada lah nampak macam Ismail Sabri saja kena fikir seorang diri,” katanya.
Bagaimanapun, Salawati berharap jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diberi kepada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, prestasi hambar Azmin sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi punca ekonomi Malaysia agak lembap ketika ini, malah jauh ditinggalkan oleh negara jiran seperti Indonesia.
“Kita tahu Ismail Sabri perlu menjaga hati banyak pihak, namun itu tidak bermakna beliau patut melantik Timbalan Perdana Menteri di kalangan menteri yang tidak ‘perform’.
“Saya amat berharap jawatan itu diisi oleh pemimpin yang bekerja untuk rakyat dan negara, sekali gus dapat membantu Perdana Menteri.
“Maaf cakaplah, bagi saya Azmin tidak layak. Apa perkara yang beliau dah buat yang dah membanggakan negara, tengoklah ekonomi negara, banyak pelabur pindah dari Malaysia, malah kita sudah jauh ketinggalan dengan Indonesia.
“Demi kebaikan rakyat dan negara, Ismail Sabri wajar mengembalikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam jemaah Kabinet,” katanya. -Malaysiapost

